Macam biasa, pas solat. Pak imam ngn bang bikai bertenggek di tangga surau.
"Apa khabar tahajjud kau?"
Pak imam tanya. Terpele'ot soalan menikam jiwa raga betul.
Bang bikai sengih-sengih sambil mencari kutu di kepala pak imam. PIAPPPPP
"Lama dah tak buat sebenarnya. Entahlah, kalau tidur je, terus sedar-sedar dah pukul 6.30 sekarang ni. Kadang rapat pukul 7." Bang bikai jawab selamba tak bersalah pun.
Pak imam menggelengkan kepala.
"Bilalah kau nak jadi muslim yang baik macam ni. Manusia ni, hebat berkata-kata kebaikan di internet zaman sekarang ni. Tapi, saat menuntut untuk menunaikan kata-kata, majoritinya tumpas.
Nasihat suruh tahajjud. Tapi, dia sendiri tidur lewat menatap komputer. Tutup komputer, sambung di fon pula. Dah baring pukul 11 malam, pukul 3 pagi masih online. Habis di Facebook, sambung di Twitter, kemudian di Instagram, lepas tu di Telegram.
Ya Allah, hati letih, tapi nafsu tidak pernah puas. Badan letih, tetapi mata yang tidak dididik terus menjadi raja.
Lemah. Muslim yang lemah."
Bang bikai tunduk tersipu malu. Maklumlah orang salah kan.
"Ye lah, mam. Saya ni kan pendosa. Manalah boleh jadi malaikat macam pak imam."
PIAPPPPP
Senget hidung jap dijentik pak imam.
Allah berfirman,
“Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar.” (QS. Adz Dzariyat: 17-18)
Ini calon ahli Syurga.
Pak imam menyambung kata.
"Kau kena tiru gaya Nabi s.a.w. Tidur awal setelah Isyak untuk bangun pula di sepertiga malam.
Kalau kau tak boleh bangun pun, kenapa kau tak letak azam dan niat sungguh-sungguh untuk bangun?
Bukti iman di tahap terendah; di hati langsung tiada hajat untuk bangun. Yang menguasai adalah malas. Yang rajin, main fon."
"Allah berfirman:
"“Hai orang yang berselimut, bangunlah pada sebahagian malam (untuk solat), separuhnya atau kurangi atau lebihi sedikit dari itu. Dan bacalah Al-Qur’an dengan tartil.” (QS. AlMuzammil: 1-4)
Allah seru Rasulullah s.a.w. bangun. Malahan, solat malam menjadi kewajipan pada Baginda s.a.w. dan sunnah muakkad pada umatnya.
Selimut itu bila dikiaskan kepada kita pada zaman sekarang; bukan setakat selimut tidur kita, tetapi kemalasan kita dan segala benda yang menghalang kita dari bangun.
Kalau fon adalah penghalang, fon itulah 'selimut' yang menutupi hati-hati kita."
Bang bikai terkedu.
Pak imam berdiri dan teruskan ceramah freenya.
"Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makanan, sambunglah tali persaudaraan dan solatlah ketika manusia terlelap tidur pada waktu malam nescaya engkau akan masuk syurga dengan selamat.” (HR. Ibnu Majah)"
"Bukan susah masuk Syurga kecuali kitalah yang kata nak ke Syurga tapi kaki yang rajin melangkah ke Neraka."
"Kau tengok tak jualan katil dan tilam di pasaraya? Fuh, harga sampai RM10 ribu pun ada satu set. Semata-mata tilam empuk, tilam spring, tilam queen king bishop dan macam-macam lagilah jenamanya.
Sampai begitu sekali manusia sanggup berhabis janji tidur mereka selesa. Tidur mereka tak terganggu. Tidur mereka terbuai indah.
Sedangkan Nabi s.a.w. tidur beralaskan belulang iaitu kulit yg diisi pelepah tamar. Saidatina Aisyah r.a berkata bahawa alas tidur Rasulullah SAW adalah daripada kulit yang diisi dengan serabut. Itu yang disebut dalam riwayat Bukhari.
Sampai berbekas di badan Nabi s.a.w. Ya Allah...Nabi s.a.w. yang begitu mulia pun tidur dengan serba daif. Kita pula tak pernah ingat pada Nabi s.a.w. yang memilih hidup penuh kesederhanaan.
Bantal tidur kita pun lebih dari satu sedangkan Nabi s.a.w. meletakkan tangan kanannya di bawah pipi sambil berbaring mengiring sebelah kanan.
Mana ada bantal empuk. Mana ada bantal gebu. Mana ada bantal golek. Tak ada!"
"Dalam riwayat lain dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. tidur di atas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaannya badannya berbekas. Lalu dibawa kepadanya oleh sahabat hamparan yang lembut.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apakah kedudukan aku di dunia ini? Tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama seorang pengembara yang berteduh di bawah pokok kemudian berlalu meninggalkannya?"
Sedangkan kita merasakan dunia ini milik kita. Bilik, tilam, katil, selimut, keselesaan tidur adalah milik kita.
Kita tak rasa kita adalah musafir. Musafir tidak bawa tilam dan katil. Cuma bawa bekalan makanan yang diperlukan. Bawa benda-benda penting saja.
Bekalan amalan soleh adalah yang terpenting untuk dibawa ke akhirat!"
Pak imam bercekak pinggang.
Bang bikai rasa sebak pula. Tacink. Tisu mane.
"Hidup ini, sematkan di hati;
Mencari ketaqwaan dalam sinar kehambaan."
Pak imam noktahkan ceramahnya di situ.
Bang bikai memeluk kaki pak imam. Menangis tersedu-sedan.
"Dah kenapa kau menangis?" Pak imam berkerut kening.
Bang bikai sambil menyapu air mata kesedihan berkata,
"Terlepas Anugerah Skrin Maksiats. Nak tengok, nak tengok.."
PIAPPPPPPPPPP
Dan hidungku berguguran...
Sekain.